Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin
Adham.
Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar
bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut, Ibrahim berkata,
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh
kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar, bertanya, "Apakah
syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu
bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."
Mendengar itu, dia mengernyitkan kening seraya berkata,
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki
Allah?
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu
sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu
berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "Kalau mahu
bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah,
fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya,
sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." Kata lelaki itu. Dia kemudian
menanyakan syarat yang ketiga.
Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat,
carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai
Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang kamu yakin sedemikian, apakah kamu
masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak
mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih
mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'."
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera
tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu
tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana
engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat
Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan
engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak
kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air
matanya bercucuran.
"Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah."
katanya sambil teresak-esak.
No comments:
Post a Comment