Kelazatan iman (Halawatul Iman) tidak
boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di
sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita
lakukannya.
Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita buat.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Ada
tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan
berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai
daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya
kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah
menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.”
(Muttafaq alaih)
Anas berkata, “Aku melayani
Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku,
tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku.
Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa
Baginda dikabulkan Allah.
Makna hadis ini, ada tiga sifat yang
jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman.
Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah,
ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata:
“Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon,
seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)
Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan,
cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.
Manisnya buah ketika buah sudah matang, dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu. Mencintai Allah mestilah melebihi
cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan
sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa
manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman
dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.
Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati.
Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.
Mengikut
Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah
dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:
1. Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.3.Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.4. Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.5. Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang soleh6. Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.
Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul
selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki
sesiapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan
Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang
tua, anak dan seluruh manusia.
Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.”
Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.”
Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”
Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”
Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”
Mencintai seseorang kerana Allah
maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan
saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh. Kita
mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta,
kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak
memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah
atas dasar iman dan amal.
Saling mencintai kerana Allah mempunyai
hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan
saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka
aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan
Allah kepada saudara kita.
Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa
pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar
keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan
Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya: “Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.”
No comments:
Post a Comment